[Samudera Indah Nian, Mazni Darwisya - Jemari Seni Publications]
Assalamualaikum wbt.
Ini merupakan novel terbaru yang saya dapati di pasaran. Sudah agak lama saya mencari picisan sulung Mazni Darwisya ini, melalui carian di internet. Hampir sebulan barulah ditemui. Alhamdulillah.
Menurut laman web rasmi Jemari Seni, yakni penerbit novel ini,
www.jemariseni.com , novel ini dilekuarkan pada November 2009. Ini merupakan sinopsis yang saya petik di
www.jemariseni.com .
___________________________________________________________________________________
Ibarat setianya Ali pada Fatimah
Ibarat kasihnya Muhammmad pada Khadijah
Itulah yang Yasmin Nur Raihan impikan dalam perkahwinannya bersama Amru walau ikatan mereka diatur keluarga. Yasmin berharap Amru menjadi pendampingnya dunia akhirat. Pada Yasmin cinta kasih dan sayang mampu disemai dipupuk. Berbeza bagi Leftenan Komander Amru Iskandar, hakikat jodohnya bersama Yasmin sukar diterima. Lantas diletakkannya syarat pada malam pertama mereka. Yasmin akur malah bersyukur. Padanya Amru bagai seorang sahabat baik yang baru dikenalinya.
Segalanya berubah apabila Yasmin menapak buat kali pertama bercuti ke rumah Amru di Lumut. Entah bila pula timbulnya rasa rindu dan sayang di hati Amru; sikap dan kelembutan Yasmin telah mengikat hati Amru pada wanita itu. Belum sempat diluahkan rasa hati, segalanya bertukar tragedi apabila Leftenan Maya Athira hadir antara mereka. Tidak seperti perempuan yang suka menyerah, Yasmin nekad mempertahankan rumah tangganya. Tetapi Amru... bagaimana?
Samudera itu indah... sepertimana indahnya cinta yang kita kemudi... ~ Amru Iskandar.
* * * *
Nukilan pertama Mazni Darwisya – Samudera Indah Nian – berlatarbelakangkan Pangkalan TLDM Lumut. Kuatkah Yasmin pabila dilambung samudera hati...? Berjayakah Amru mengemudi bahteranya? Biarlah Mazni Darwisya yang menjawabnya!
Memula melihat blurb ini, saya sedikit ngeri. Kerapkali pembaca dihidangkan dengan jamuan cerita mengenai kahwin paksa, atau kahwin kontrak [yang hukumnya tidak sah @ haram di sisi agama] atau kahwin yang diatur keluarga, bukan berdasarkan pihan hati. Dan SIN merupakan salah satu daripada lambakan produk tersebut.
Namun, muka depannya yang sangat cantik dan bermakna. Syabas kepada pereka kulit, Helmino yang berjaya membuatkan saya berkhayal mengenai samudera indah nian yang sebenarnya.
Kelmarin ke KB, saya menanam azam, untuk tidak membeli hatta sebuah novel pun. Dengan semangat yang dipasung di dalam hati, saya menghalakan kaki ke sebuah kedai buku dan alatulis dengan harapan kebosanan menunggu abang untuk menjemput saya akan hilang, sementelah toko-toko sebegini merupakan salah satu tempat kegemaran saya.
Gagal.
Melihat saja novel ini, memberontak untuk membeli. Saya cuba untuk mengawal hati.
Gagal lagi.
Dan kini, senaskhah SIN berada dalam kalangan novel-novel yang bersusun di kamar saya.
Secara keseluruhannya, saya sangat bersyukur kerana apa yang dihikayatkan di dalam novel ini tidaklah menyentuh isu yang keterlaluan. Sekurang-kurangnya, lebih baik daripada babak-babak asmaradana dalam novel-novel terbitan sebuah syarikat penerbitan popular.
Selain muka depannya yang menarik, apa yang mampu melekat di minda saya mengenai SIN ialah wilayah Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang berlokasikan di Lumut. TLDM seolah-olah mempunyai sebuah negara jajahan sendiri. Mempunyai Armada Square yang lengkap dengan pelbagai fasiliti, selain Hospital Angkatan Laut (HAL) dan pelbagai lagi sistem yang menarik.
Yang menarik perhatian saya ialah watak kerdil Kapten Doktor Omar. Watak ini hanya muncul apabila Yasmin Nur Raihan dicederakan oleh individu yang menceroboh ke dalam rumah sewanya, dan Yasmin dihantar ke HAL oleh suaminya, Leftenan Komander Amru Iskandar Borhan.
Watak Kapten Doktor Omar hanya muncul sekali, namun begitu berbekas di hati!
Ini kerana, selain gelaran Kapten mendahului gelaran Doktor, saya merasakan keterujaan betdetao-detup di dada. Saya mula mengaitkan watak ini dengan saya dan keadaan saya..
Saya memburu gelaran Kapten. Saya mengidam untuk mendahulukan nama saya dengan gelaran ini. Kapten Maryam.
Tapi ibu. Ibu mahu saya bergelar doktor. Ibu mahu anaknya ini dipanggil doktor. Doktor Maryam.
Tetapi, Kapten Doktor Omar memiliki kedua-duanya.
Jadi...
Boleh kan saya jadi Kapten Doktor Maryam?
Saya faham mengapa Kapten Doktor Omar yang hanya seorang doktor, tapi turut digelar Kapten. Ini adalah kerana beliau bekerja dengan TLDM di HAL, yang mana semua anggotanya harus menggunakan gelaran pangkat tentera di pangkal nama mereka.
Leftenan Muda.
Leftenan Komander.
Lasykarnita.
Panglima.
Dan Kapten.
Sungguh, hanya dengan Kapten Doktor Omar, Mazni Darwisya membuatkan saya teruja!
Mungkin saya boleh menjadi doktor seperti yang ibu idamkan, tetapi pada masa yang sama saya juga bergelar kapten.
Mungkin saya harus membuat penyelidik tentang TLDM dan segala yang berkaitan dengannya.
Okey, kembali kepada tajuk entri hari ini.
Mulanya, pembaca dihidangkan dengan persekitaran di TLDM Lumut, yang bertunjangkan Leftenan Komander Amru Iskandar. Kemudiannya, penulis menyorot kisah perkahwinan Amru dan Yasmin. Malam pertama mereka yang diolah dengan 'sopan'. Kemudiannya cara mereka berkenalan sesama sendiri selepas bergelar suami isteri. Cara Amru jatuh cinta. Halangan melanda apabila muncul Fazril, Leftenan Maya Athira, peristiwa Amru ditangkap khalwat, pemergian Leftenan Komander Amru ke Teluk Aden dan diakhiri dengan kenaikan pangkat Leftenan Komander Amru dan seterusnya bersatunya Amru dan Yasmin sebagai suami isteri dalam erti kata sebenar.
Ringkas.
Plot yang agak klise, kerana pembaca sudah seringkali dihidangkan dengan plot sebegini.
Tapi, novel ini berbaloi bagi saya, kerana saya mendapat info tambahan mengenai TLDM. Lebih-lebih lagi mengenai Kapten Doktor Omar. Terima kasih Mazni Darwisya! :)
Secara keseluruhannya, SIN layak untuk mendapat 3 bintang ikhlas daripada saya. 1 bintang atas plot yang biasa dan tidak keterlaluan, 1/2 bintang untuk gaya bahasa yang ringkas dan tidak mengarut dan 1 bintang untuk info TLDM dan 1/2 bintang lagi khas untuk makluman mengenai Kapten Doktor Omar. =D
Sehingga akhir tahun 2009, saya menjangkakan paling banyak novel yang akan saya beli ialah hanya dua buah lagi. Minggu ini sebuah lagi, dan minggu terakhir di bulan Disember sebuah lagi. [mungkin lebih]
Saya mengambil kesempatan ini untuk memuji penulis Mazni Darwisya yang tidak keterlaluan dalam menggambarkan adegan antara Amru dan Yasmin. Penulis lain juga seharusnya begini. Tidak seharusnya mereka menggunakan adegan panas sebagai penarik minat pembaca. Benar, novel-novel seperti itu mendapat sambutan di pasaran, tapi ingatlah, kalau ada yang TERbuat maksiat hasil karya anda, jawablah sendiri di akhirat.
Saya bukan penggemar novel Islamik. Saya juga bukan penggemar novel yang keterlaluan. Sekadar sedang-sedang sahaja, sesuai dengan peringkat umur saya. Namun kadangkala apabila ada rakan yang mencintai novel Islamik menyuarakan kebengangan dengan keterlaluan yang dihasilkan novel cereka biasa, saya hanya mampu berdiam diri. Tiada hujah kukuh untuk mempertahankan.
Benar.
Bukan semua novel cereka itu keterlaluan, tapi harus diingat pepatah Melayu.
'Kerana susu setitik, rosak susu sebelanga.'
Jangan merosakkan peningkatan pembaca Melayu hanya dengan karya yang tidak mencapai tahap yang boleh dibanggakan.
Andai kata ada pihak yang terasa, saya dahului dengan ungkapan maaf. Saya hanyalah pemerhati kerdil, yang cuba melihat dunia dari kaca mata saya sendiri. Apa yang terluah di skrin anda, hanyalah pandangan individu ini secara peribadi. Harap maklum.
Wallahu'alam.
Wassalam.