BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS
Showing posts with label Kupasan Isu General :). Show all posts

Thursday, December 3, 2009

Tahap Pemahaman Manusia Berbeza

Assalamualaikum wbt.

Sekadar satu entri ringkas.
Tidak mengutuk mana-mana pihak,
malah memuji Pencipta seluruh buana..

Allah Azza Wa Jalla..

Betapa Allah Mah Berkuasa..

Saya teringat kata-kata seorang guru..

"Allah menciptakan mata manusia ini sama pada zahirnya. Tapi dalamannya sangat berbeza. Pada pandangan saya, begini mungkin cantik. Tapi pada pandangan kamu, begini mungkin jelik. Begitulah sebaliknya. Kalau mata manusia semua sama, semua nampak Siti Nurhaliza itu cantik, maka orang lain akan nampak jelik, sebab tidak secantik Siti."

Benar.

Kalau semua orang kata Siti Nurhaliza itu cantik, maka tidak akan wujud ratu dunia yang lain, kerana tidak secantik Siti.

Apa yang berlaku mutakhir ini bukannya mengenai isu mata, siapa cantik, Siti Nurhaliza atau ratu dunia. Tapi, isunya ialah pemahaman manusia yang berbeza.

Sama saja konsepnya dengan aspek mata tadi. Cuma diubahsuai kepada minda dan akal.

Orang kata lain, dia ulas lain.
Orang sebut lain, dia faham lain.
Orang cakap lain, dia lapor lain.
Orang buat lain, dia tulis lain.

Akhirnya, apa yang dihidangkan kepada orang ramai adalah berita yang tidak sahih!

Itulah kebanyakan manusia dua tiga hari ini.

Demi kuasa untuk mentakluk dunia, yang hanya sementara.

Tidak semena-mena,
saya pula yang terfikir...

Tidak tahukah mereka wujudnya akhirat?
Tidak takutkah mereka balasan di sana?
Tiada niatkah mereka mahu bertaubat?
Tidak sedarkah mereka akan hakikat?
Tidak jemukah mereka melakukan maksiat?

Maksiat bukan hanya zina!
Maksiat bukan hanya minum arak!

Setiap perbuatan yang menyalahi undang-undang Allah,
MAKSIAT!

Belajar tinggi-tinggi, takkan tak reti nak kaitkan kepada fitrah dan fikrah asal manusia?

Orang baca Qunut Nazilah,
dikatakan doa untuk kemusnahan!

Orang minta doa supaya bukakan fikiran,
 dikatakan doa untuk kehancuran.

Susah betul wujud manusia macam ni..

Benar kata seorang ulama' ..

"Di akhir zaman nanti, akan wujud manusia yang amanah, namun dikata khianat. Manusia yang jujur, dikata bohong. Begitulah sebaliknya..."

Persoalannya,

Kepada siapa harus kita letakkan kepercayaan,
andai semua pihak perdana berkolaborasi dalam merencanakan misi dan menjayakan agenda,
yang tampak berbeza,
tapi sama!

Kiamat sudah dekat!
Tak tahu nak bertaubat?
Tak takut akhirat?
Masih nak buat maksiat?

Renung2kan.

Sekadar memuji ciptaan Allah yang pelbagai. Betapa DIA berkuasa menetapkan sesuatu. Betapa DIA berkuasa mengubah sesuatu.

Ruginya akal dan minda yang diberi, sebagai simbol perbezaan darjat antara manusia dan haiwan, tidak digunapakai sebaik mungkin, oleh makhluk yang dicanang sebagai sebaik-baik ciptaan...

Dan jangan lupa..

Yang pasti, kiamat itu ada.

Wallahu'alam.

Wassalam.

~Maryam Kamal.

*siapa yang telan gula, dialah rasa manisnya. siapa yang teguk sambal, dialah rasa pedasnya*

Tuesday, December 1, 2009

Saja-saja Nak Komen : Novel Samudera Indah Nian by Mazni Darwisya

[Samudera Indah Nian, Mazni Darwisya - Jemari Seni Publications]

Assalamualaikum wbt.

Ini merupakan novel terbaru yang saya dapati di pasaran. Sudah agak lama saya mencari picisan sulung Mazni Darwisya ini, melalui carian di internet. Hampir sebulan barulah ditemui. Alhamdulillah.

Menurut laman web rasmi Jemari Seni, yakni penerbit novel ini,www.jemariseni.com , novel ini dilekuarkan pada November 2009. Ini merupakan sinopsis yang saya petik di www.jemariseni.com .

___________________________________________________________________________________

Ibarat setianya Ali pada Fatimah
Ibarat kasihnya Muhammmad pada Khadijah
Itulah yang Yasmin Nur Raihan impikan dalam perkahwinannya bersama Amru walau ikatan mereka diatur keluarga. Yasmin berharap Amru menjadi pendampingnya dunia akhirat. Pada Yasmin cinta kasih dan sayang mampu disemai dipupuk. Berbeza bagi Leftenan Komander Amru Iskandar, hakikat jodohnya bersama Yasmin sukar diterima. Lantas diletakkannya syarat pada malam pertama mereka. Yasmin akur malah bersyukur. Padanya Amru bagai seorang sahabat baik yang baru dikenalinya.
Segalanya berubah apabila Yasmin menapak buat kali pertama bercuti ke rumah Amru di Lumut. Entah bila pula timbulnya rasa rindu dan sayang di hati Amru; sikap dan kelembutan Yasmin telah mengikat hati Amru pada wanita itu. Belum sempat diluahkan rasa hati, segalanya bertukar tragedi apabila Leftenan Maya Athira hadir antara mereka. Tidak seperti perempuan yang suka menyerah, Yasmin nekad mempertahankan rumah tangganya. Tetapi Amru... bagaimana?
Samudera itu indah... sepertimana indahnya cinta yang kita kemudi... ~ Amru Iskandar.
* * * *
Nukilan pertama Mazni Darwisya – Samudera Indah Nian – berlatarbelakangkan Pangkalan TLDM Lumut. Kuatkah Yasmin pabila dilambung samudera hati...? Berjayakah Amru mengemudi bahteranya? Biarlah Mazni Darwisya yang menjawabnya!

Memula melihat blurb ini, saya sedikit ngeri. Kerapkali pembaca dihidangkan dengan jamuan cerita mengenai kahwin paksa, atau kahwin kontrak [yang hukumnya tidak sah @ haram di sisi agama] atau kahwin yang diatur keluarga, bukan berdasarkan pihan hati. Dan SIN merupakan salah satu daripada lambakan produk tersebut.

Namun, muka depannya yang sangat cantik dan bermakna. Syabas kepada pereka kulit, Helmino yang berjaya membuatkan saya berkhayal mengenai samudera indah nian yang sebenarnya.

Kelmarin ke KB, saya menanam azam, untuk tidak membeli hatta sebuah novel pun. Dengan semangat yang dipasung di dalam hati, saya menghalakan kaki ke sebuah kedai buku dan alatulis dengan harapan kebosanan menunggu abang untuk menjemput saya akan hilang, sementelah toko-toko sebegini merupakan salah satu tempat kegemaran saya.

Gagal.

Melihat saja novel ini, memberontak untuk membeli. Saya cuba untuk mengawal hati.

Gagal lagi.

Dan kini, senaskhah SIN berada dalam kalangan novel-novel yang bersusun di kamar saya.

Secara keseluruhannya, saya sangat bersyukur kerana apa yang dihikayatkan di dalam novel ini tidaklah menyentuh isu yang keterlaluan. Sekurang-kurangnya, lebih baik daripada babak-babak asmaradana dalam novel-novel terbitan sebuah syarikat penerbitan popular.

Selain muka depannya yang menarik, apa yang mampu melekat di minda saya mengenai SIN ialah wilayah Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang berlokasikan di Lumut. TLDM seolah-olah mempunyai sebuah negara jajahan sendiri. Mempunyai Armada Square yang lengkap dengan pelbagai fasiliti, selain Hospital Angkatan Laut (HAL) dan pelbagai lagi sistem yang menarik.

Yang menarik perhatian saya ialah watak kerdil Kapten Doktor Omar. Watak ini hanya muncul apabila Yasmin Nur Raihan dicederakan oleh individu yang menceroboh ke dalam rumah sewanya, dan Yasmin dihantar ke HAL oleh suaminya, Leftenan Komander Amru Iskandar Borhan.

Watak Kapten Doktor Omar hanya muncul sekali, namun begitu berbekas di hati!

Ini kerana, selain gelaran Kapten mendahului gelaran Doktor, saya merasakan keterujaan betdetao-detup di dada. Saya mula mengaitkan watak ini dengan saya dan keadaan saya..

Saya memburu gelaran Kapten. Saya mengidam untuk mendahulukan nama saya dengan gelaran ini. Kapten Maryam.

Tapi ibu. Ibu mahu saya bergelar doktor. Ibu mahu anaknya ini dipanggil doktor. Doktor Maryam.

Tetapi, Kapten Doktor Omar memiliki kedua-duanya.

Jadi...

Boleh kan saya jadi Kapten Doktor Maryam?

Saya faham mengapa Kapten Doktor Omar yang hanya seorang doktor, tapi turut digelar Kapten. Ini adalah kerana beliau bekerja dengan TLDM di HAL, yang mana semua anggotanya harus menggunakan gelaran pangkat tentera di pangkal nama mereka.

Leftenan Muda.
Leftenan Komander.
Lasykarnita.
Panglima.

Dan Kapten.

Sungguh, hanya dengan Kapten Doktor Omar, Mazni Darwisya membuatkan saya teruja!

Mungkin saya boleh menjadi doktor seperti yang ibu idamkan, tetapi pada masa yang sama saya juga bergelar kapten.

Mungkin saya harus membuat penyelidik tentang TLDM dan segala yang berkaitan dengannya.

Okey, kembali kepada tajuk entri hari ini.

Mulanya, pembaca dihidangkan dengan persekitaran di TLDM Lumut, yang bertunjangkan Leftenan Komander Amru Iskandar. Kemudiannya, penulis menyorot kisah perkahwinan Amru dan Yasmin. Malam pertama mereka yang diolah dengan 'sopan'. Kemudiannya cara mereka berkenalan sesama sendiri selepas bergelar suami isteri. Cara Amru jatuh cinta. Halangan melanda apabila muncul Fazril, Leftenan Maya Athira, peristiwa Amru ditangkap khalwat, pemergian Leftenan Komander Amru ke Teluk Aden dan diakhiri dengan kenaikan pangkat Leftenan Komander Amru dan seterusnya bersatunya Amru dan Yasmin sebagai suami isteri dalam erti kata sebenar.

Ringkas.

Plot yang agak klise, kerana pembaca sudah seringkali dihidangkan dengan plot sebegini.

Tapi, novel ini berbaloi bagi saya, kerana saya mendapat info tambahan mengenai TLDM. Lebih-lebih lagi mengenai Kapten Doktor Omar. Terima kasih Mazni Darwisya! :)

Secara keseluruhannya, SIN layak untuk mendapat 3 bintang ikhlas daripada saya. 1 bintang atas plot yang biasa dan tidak keterlaluan, 1/2 bintang untuk gaya bahasa yang ringkas dan tidak mengarut dan 1 bintang untuk info TLDM dan 1/2 bintang lagi khas untuk makluman mengenai Kapten Doktor Omar. =D

Sehingga akhir tahun 2009, saya menjangkakan paling banyak novel yang akan saya beli ialah hanya dua buah lagi. Minggu ini sebuah lagi, dan minggu terakhir di bulan Disember sebuah lagi. [mungkin lebih]

Saya mengambil kesempatan ini untuk memuji penulis Mazni Darwisya yang tidak keterlaluan dalam menggambarkan adegan antara Amru dan Yasmin. Penulis lain juga seharusnya begini. Tidak seharusnya mereka menggunakan adegan panas sebagai penarik minat pembaca. Benar, novel-novel seperti itu mendapat sambutan di pasaran, tapi ingatlah, kalau ada yang TERbuat maksiat hasil karya anda, jawablah sendiri di akhirat.

Saya bukan penggemar novel Islamik. Saya juga bukan penggemar novel yang keterlaluan. Sekadar sedang-sedang sahaja, sesuai dengan peringkat umur saya. Namun kadangkala apabila ada rakan yang mencintai novel Islamik menyuarakan kebengangan dengan keterlaluan yang dihasilkan novel cereka biasa, saya hanya mampu berdiam diri. Tiada hujah kukuh untuk mempertahankan.

Benar.

Bukan semua novel cereka itu keterlaluan, tapi harus diingat pepatah Melayu.

'Kerana susu setitik, rosak susu sebelanga.'

Jangan merosakkan peningkatan pembaca Melayu hanya dengan karya yang tidak mencapai tahap yang boleh dibanggakan.

Andai kata ada pihak yang terasa, saya dahului dengan ungkapan maaf. Saya hanyalah pemerhati kerdil, yang cuba melihat dunia dari kaca mata saya sendiri. Apa yang terluah di skrin anda, hanyalah pandangan individu ini secara peribadi. Harap maklum.

Wallahu'alam.

Wassalam.

Wednesday, November 4, 2009

Di Masjid Pun Berpolitik...

Assalamualaikum wbt.

Tidak tahu bagaimana mahu memulakan cerita ini tanpa membuatkan mana-mana pihak berkecil hati. Mungkin saya terpaksa menceritakannya dari sudut 'bukan nama sebenar' kerana kalau sudut 'nama sebenar' yang saya gunakan, saya agak pasti ada pihak yang akan TErasa.

Di sebuah pekan yang sederhana, terdapat sebuah masjid yang pencapaiannya tidak dapat dinafikan meningkat dari tahun ke tahun sementelah ahli jawatankuasa-ahli jawatankuasa yang menguruskan masjid merupakan individu-individu yang sangat berkaliber.

Kebanyakan daripada ahli jawatankuasa yang tinggal berdekatan dengan masjid membantu melancarkan lagi proses pembangunan dan perkembangan sebuah pusat institusi Islam. Semakin ramai jemaah memenuhi ruang parkir masjid tersebut dari awal seinggalah ke hujung tahun kerana program-program yang diaturkan oleh para ahli jawatankuasa merupakan program-program yang bagus.

Masalah muncul apabila imam yang baru ditugaskan ke masjid ini tinggal berjauhan daripada masjid menyebabkan beliau gagal menghadirkan diri ke masjid untuk mengimami jemaah lima kali sehari. Adakalanya, majlis yang patut dihadiri oleh beliau sebagai ketua organisasi masjid juga gagal dihadiri keran faktor jarak dan kekangan masa.

Bagi menempel semua kelemahan tersebut, para ahli jawatankuasa dengan tulus ikhlasnya cuba menasihati beliau. Apabila menyedari beliau 'tak jalan' dengan nasihat tulus ikhlas, beberapa kali juga para ahli jawatankuasa menyindir dan memerli beliau secara halus, dengan harapan beliau menyedari kepentingan beliau di masjid tersebut.

Namun tindakan tersebut membuatkan imam muda ini tidak selesa. Mempunyai hubungan baik dengan pegawai daerah membuatkan imam tersebut memohon pegawai daerah untuk menukarkan ahli jawatankuasa. Malas mahu berbahas, perkara tersebut hanya dipersetujui oleh pegawai tersebut. Ragu-ragu dan ingin tahu membuatkan beliau bertanya kepada salah seorang ahli jawatankuasa mengenai hal tersebut.

Apabila pegawai daerah itu bersetuju dengan permintaan imam yang mahu menukar ahli jawatankuasa, ini bermaksud secara langsungnya ahli jawatankuasa yang lama telah dipecat. Lantas, sebelum dipecat secara rasminya, maka semua ahli jawatankuasa lama memutuskan untuk meletakkan jawatan. Sekurang-kurangnya lebih bermaruah, kan?

Lantas setiausaha yang memang setia dengan masjid itu, menaip sepucuk surat perletakan jawatan bagi semua ahli jawatankuasa. Segala harta benda kepunyaan masjid yang lazimnya diletakkan di rumah mereka demi kesenangan untuk berurusan, kini terpaksa dikembalikan. Harta benda berkenaan adalah seperti kamera masjid, fail-fail kewangan, fail-fail program dan sebagainya yang berkaitan.

Mendengar cerita itu, hati saya ditebak sayu. Tidak dapat saya bayangkan, bagaimana ahli jawatankuasa yang sudah memasukkan aktiviti di masjid sebagai salah satu agenda harian mereka, terpaksa membiasakan diri hadir ke masjid hanya sebagai ahli jemaah. Meskipun kepincangan berlaku, mereka hanya boleh memandang kerana kuasa bukan lagi di tangan mereka.

Siang malam para ahli jawatankuasa mempersiapkan diri fizikal dan mental dan mengawalselia semua harta benda masjid untuk dikembalikan. Akaun kira-kira dibuka, dan dikira berulang kali. Maklumlah, sepanjang menjadi ahli jawatankuasa, sudah banyak transaksi duit keluar masuk diuruskan. Tiba-tiba kena kepilkan bersama satu akaun bersih demi menyenangkan ahli jawatankuasa baru.

Para ahli jawataknkuasa terpaksa melupakan aktiviti-aktiviti yang lazim dilakukan mereka di masjid sepanjang tahun contohnya Awal Muharram, Nuzul Quran. Nisfu Syaaban, Ihya' Ramadhan, Maulid Rasul, Asy-Syura, khatam Quran dan sebagainya. Semua itu akan diuruskan oleh ahli jawatankuasa baru.

Lupakan semua nombor telefon penceramah kerana semua itu akan dihafal oleh ahli jawatankuasa yang baru. Lupakan nombor telefon wakil rakyat kerana semua itu akan diingat oleh ahli baru. Apa yang perlu bekas ahli jawatankuasa ini lakukan ialah hadir ke masjid sebagai jemaah. Itu sahaja.

Saya terkilan mendengar berita itu. Jelas berlakunya penguasaan politik di masjid. Sepatutnya, aplikasi masjid digunakan dengan betul. Sebagai tempat berkumpul muslimin muslimat. Sebagai tempat menuntut ilmu. Sebagai tempat meluahkan masalah. Sebagai tempat menyelesaikan masalah. Sebagai tempat menenangkan minda. Sebagai tempat penyatuan hati umat Islam. Yang paling penting, sebagai tempat berjumpanya seorang hamba dengan Tuhannya. Namun semua ini disalahguna dengan kuasa yang ada menyebabkan ada hati yang terluka, ada jiwa yang tercedera.

Politik kini menular ke masjid, sebuah tempat yang dianggap suci dan tinggi martabatnya dalam kalangan umat Islam. Hanya kerana tidak tahan menahan panas telinga tatkala disindir oleh orang yang terlebih dahulu merasa pahitnya hempedu masinnya garam, ini yang imam tersebut pilih. Tanpa memikirkan kemungkinan-kemungkinan yang berlaku jika ahli jawatankuasa ditukar. Mungkin masid tersebut lebih gah, tapi tak mustahil masjid tersebut akan rebah. Jika ini berlaku, umat Islam di kawasan sekitarnya sudah pasti tidak lagi yakin dengan pengurusan mereka dalam mentadbir sebuah institusi Islam yang selama ini dipandang tinggi.

Semua orang tahu politik itu kotor, tetapi tiada siapa yang mahu membersihkannya.

Jika perkara sebegini boleh berlaku di masjid, apatah lagi di tempat lain.

Yang elok, jadikan teladan.
Yang buruk, jadikan sempadan.

Sekian, wallahu'alam.

Wassalam.

Salam kesal,
Maryam Kamal.

nota kaki : Kejadian tersebut boleh terjadi di mana-mana sahaja. Di utara Ghana, atau di selatan Senegal, atau timur Venezuela, atau barat Sulawesi. Tidak mustahil juga berlaku di utara, selatan, timur dan barat Malaysia. Wallahu'alam.

Tuesday, November 3, 2009

Indonesia ambil karya seniman Malaysia, senyap saja?

Assalamualaikum wbt.

Usai tamat peperiksaan kelmarin, saya pulang ke rumah dengan minda yang agak relaks. Kekangan waktu tidak mengizinkan saya membelek akhbar lebih lama, sekadar menangkap tajuk utama Utusan, Dr MAZA ditangkap JAIS atas tuduhan menyampaikan kuliah tanpa tauliah. Alhamdulillah, beliau dibebaskan hari ini dengan jaminan bon.

Berita Harian dan Sinar yang tidak sempat saya pantau, pagi tadi baru saya sentuh. Berita pemandu bas mogok di Sinar menarik perhatian saya. Maklumlah, salah seorang daripada pelanggan setia SKMK ialah saya. Bila berdepan dengan situasi sebegini, barulah terasa betapa pentingnya kewujudan SKMK di tanah Kelantan ini. Meskipun bas selalu lambat, adakalanya meragam dan pak cik bas yang emo, sekurang2nya sampai juga saya di destinasi. Bila mogok kerana sudah tiga bulan tidak diberi slip gaji, ternganga saja saya di stesen bas. Mujur ada bas yang terlepas. Sempatlah sampai di sekolah..

Bukan isu bas yang ingin saya abadikan di blog ini. Bukan juga kritikan atau kutukan kepada pihak berkenaan, sekadar satu luahan insan biasa yang kurang berpuas hati. Bagi saya, semua orang punyai hak untuk bersuara. Saya juga. Lantaran itu, saya harap pihak berkenaan faham apa tujuan saya mengabadikan topik ini di sini.

Basi.

Mungkin topik pergaduhan antara Malaysia dan Indonesia yang kini senyap, sudah menjadi basi. Baguslah. Hikayat tidak enak seperti ini tidak patut dipanjang-panjangkan.

Menelusuri rentetan sejarah, Indonesia menuduh Malaysia mencuri karya seninya melalui tarian pendet yang diiklankan oleh sebuah syarikat pelancongan swasta yang langsung tidak berkait dengan kerajaan. Menurut Indonesia, syarikat tersebut menjadikan tarian pendet sebagai aset tarikan ke Malaysia sempena Karnival Cuti-Cuti Malaysia seterusnya mendakwa Malaysia mencuri kerya seni mereka dengan mengatakan tarian pendet merupakan tarian milik Indonesia.

Perbalahan ini dihangatkan lagi dengan perebutan wilayah jajahan antara Malaysia dan Indonesia. Kawasan yang terlibat ialah Pulau Sipadan dan Ligitan. Kemudiannya dibangkitkan isu pekerja Indonesia di Malaysia dan dakwaan tentang penganiayaan terhadap pendatang Indonesia.

Sebagai warganegara Malaysia, saya akui, semangat patriotisme saya sedikit tercabar apabila isu ini hangat diperkatakan, ada pihak di Malaysia yang masih bersemangat menerbitkan program bersifat keINDONESIAan di media, tidak kira media massa, cetak mahupun elektronik. Stesen-stesen televisyen mengambil sikap berdiam diri dan meneruskan penyiaran mereka dalam sinetron-sinteron Indonesia yang kononnya mendapat rating tinggi. Media cetak masih lagi mempromosikan artis seberang. Tanpa sebarang berita mengenai artis seberang dalam masa sehari bagaikan tidak sah! Radio-radio pula masih mengalunkan lagu-lagu karya band-band dan penyanyi seberang yang didakwa sebagai karya yang lebih baik daripada Malaysia. Semuanya mengambil sikap berdiam diri meskipun ramai warganegara Malaysia yang prihatin berulang kali menghantar surat ke Utusan dan BH, menghantar SMS ke Kosmo! dan Metro, namun senyap sepi semuanya..

Menyelak akhbar Berita Harian kelmarin, saya membaca suatu artikel yang menggandingkan nama penyanyi seberang, Ahmad Dhani dengan lagu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Madu Tiga yang dipopularkan allahyarham dalam filem Madu Tiga.

Album terbaru penyanyi Indonesia ini, Ahmad Dhani and The Swinger membabitkan lagu allahyarham yang dinyanyikan semula oleh Ahmad Dhani dengan menggunakan nafas baru. Mengejutkan, lagu ini muncul sebagai lagu paling popular berbanding lagu lain.

Pada majlis pelancaran album ini, Ahmad Dhani sempat menyanyikan lagu ini secara spontan di hadapan media.

Saya sudah mendengar lagu ini. Video klipnya sudah pun saya tonton. Peminat P.Ramlee mana yang tidak teruja apabila mengetahui lagu beliau dinyanyikan semula dengan diberi nafas baru? Dan menurut kenyataan Ahmad Dhani di akhbar BH itu, dia terdengar lagu ini buat pertama kalinya ketika dialunkan oleh sebuah pusat membeli-belah. merasakan lagu ini sedap, beliau mengambil keputusan untuk menyanyikan lagu ini dengan irama yang lebih segar sementelah tiada penyanyi lelaki yang berani menyanyikan semula lagu ini. Video klipnya pada pandangan saya, kurang sesuai untuk tontonan umum. Tak tahulah di Indonesia bagaimana. Tapi bagi kanak-kanak yang mengenali P.Ramlee dan ingin menonton video klip ini, jawapan saya ialah tidak.

Persoalan yang tercetus ialah...

Bukankah lagu ini secara hakikat dan jelasnya merupakan lagu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, seniman agung Malaysia? Setahu saya, allahyarham memang dari keturunan Indonesia sementelah bapa allahyarham, Teuku Nyak Putih berdarah Acheh. Namun menikah dengan Che Rahmah, gadis Tanah Melayu sejati. Bukankah P. Ramlee bergiat aktif dengan seni perfileman Singapura? Tidak pernah saya dengan P. Ramlee berlakon dalam produksi Indonesia.Tapi saya harus akui, sebagai belia belasan tahun, mungkin pengetahuan saya tentang idola negara ini masih dangkal.

Namun, ingin saya tegaskan. Sungguh saya tidak mengerti. Tiada pihak yang tampil ke depan dan menyatakan rasa ketidakpuasan hati mereka dengan tindakan Ahmad Dhani ini yang saya sifatkan lebih kurang mencedok idea rakyat Malaysia. Strategi beliau berjaya apabila lagu ini muncul sebagai lagu paling popular di dalam album terbaru beliau.

Mungkin tiada salahnya jika ada penyanyi lain yang mahu menyanyikan kembali lagu P. Ramlee, tidak kira lokal atau antarabangsa. Mungkin kalau Usher atau Akon yang menyanyikan lagu ini, lebih hebat sambutan yang diberikan.Janji royalti masuk...

Namun sebagai anak Malaysia, sungguh saya tak berpuas hati. Ungkapan SatuMalaysia yang dilancarkan oleh PM, Dato' Seri Najib Tun Razak, dimanipulasi oleh warga Indonesia yang obses, dengan menukarkan abjad T kepada P menjadikan perkataan itu bertukar kepada SapuMalaysia. Keselamatan pelajar-pelajar Malaysia di Indonesia juga terancam kerana keganasan yang dilakukan oleh warga Indonesia yang memandang serong kepada rakyat Malaysia. Karnivel pelancongan tahunan Malaysia yang dinamakan Cuti-cuti Malaysia pula ditukar sesuka hati kepada Curi-Curi Malaysia.

Saya malas mengungkit, nanti dikatakan tidak ikhlas. Namun bila timbulnya persoalan sebegini, secara skeptikalnya ingin saya ingatkan kembali kepada sesiapa yang terlupa apa-apa..

Siapakah yang memberi rezeki yang lumayan kepada warga Indonesia yang berkunjung ke Malaysia sebagai pembantu rumah? Di Indonesia, saya difahamkan oleh seorang guru, pelayan kedai makan mendapat gaji RM30 sebulan. Di Malaysia, mereka mendapat lebih 10 kali ganda daripada jumlah itu.

Pendatang Indonesia di Malaysia dianiaya?

Wahai warga Indonesia,
Kami boleh menerima kehadiran kamu dengan baik, sekiranya kamu datang dengan baik beserta niat yang baik. Tapi kalau datang ke Malaysia pun secara haram, dan membuat pekerjaan haram, hingga menyempitkan ruang di dalam penjara Kajang dan Sungai Buloh dengan kehadiran kamu sekalian, kamu minta kami sambut kedatangan kamu dengan baik? Itu belum lagi dengan berbagai kes jenayah yang kamu lakukan, atau dengan kes membawa pulang anak gadis Malaysia ke tempat sendiri, terutamanya jejaka Lombok!

Siapa yang melakukan aktiviti pecah rumah?
Siapa yang melakukan akitiviti ragut?
Siapa yang melakukan aktiviti rompak?
Siapa yang melakukan aktiviti rogol?

Yaaa! Warga tempatan juga ada. Tapi adakah warga Malaysia yang ke Indonesia, berprofesionkan penjenayah?

Usah persoalkan pembantu rumah Indonesia yang didera majikan. Memang ada! Lagipun, bukan semua orang baik kan?

Tapi ada juga kes pembantu rumah mendera majikan. Terbaru, memasukkan racun ke dalam sup. Mendera anak majikan sudah menjadi perkara biasa. Mengambil harta benda majika tanpa kebenaran atau dalam bahasa kasar dan pendeknya, mencuri juga sudah menjadi perkara biasa. Akhir sekali ghaib pulang ke tanah air setelah cukup wang bersama teman lelaki. Kononnya ingin pulang ke kampung halaman dan membina keluarga sendiri.

Tidak dinafikan, ada juga yang baik. tapi kalau majoritinya kurang baik, macam mana? Sedangkan kerana nilai setitik, susu sebelanga boleh rosak. Apatah lagi bertitik-titik!

Tidak dinafikan juga, kehadiran buruh-buruh Indonesia banyak membantu pembangunan Malaysia dari segi infrastrukturnya. Pelayan-pelayan kedai makan di ibu kota juga kebanyakannya terdiri daripada rakyat-rakyat Indonesia yang bermigrasi demi mencari rezeki.

Sungguh!
Saya tidak kisah kalau terpaksa berkongsi tanah air dengan warga Indonesia kerana apa yang kami miliki di Malaysia ini bukannya milik kami secara eternal. Semuanya milik Allah. Ini sekadar pinjamanNya dan kesenangan yang DIA anugerah, sama sekali tidak patut kami rasai seorang.

Datanglah ke Malaysia dengan cara baik dan niat yang baik. Saya sungguh mengerti keadaan di Indonesia, berdasarkan pemerhatian, pantauan dan pemberitahuan oleh teman2 yang berkunjung ke sana. Insya Allah rezeki kami di Malaysia melimpah ruah dan kami tidak kisah andai rezeki itu harus kita kongsi bersama. Dengan syarat, datanglah secara baik beserta niat yang baik. Demi mencari rezeki untuk diri dan keluarga. Carilah rezeki yang halal, kerana kemanisan rezeki yang halal itu lebih terasa berbanding rezeki yang haram.

Kita saling memerlukan. Malaysia perlukan tenaga kerja untuk membina bangunan dan membasuh pinggan mangkuk, Indonesia perlukan wang untuk memastikan ada lagi hari esok buat mereka. Ayuh kita bekerjasama, daripada saling berantakan begini.

Andai kata ada kalam dan ayat yang membuatkan mana-man pihak terasa, tersentuh, termarah dan tergeram, saya dahului dengan ucapan maaf. Jikalau ada salah dan silap, sudi-sudikanlah tinggalkan pesanan agar kesalahan itu boleh dibaiki dan tidak berulang lagi. Saya masih mentah, dunia ini belum suku bahagiannya saya terokai.

Kritikan dan komen membina amat saya harapkan!

Untuk info lanjut, layari :

  • http://infopkpmi-cb.blogspot.com
  • http://www.budiey.com

Sekian.

Wallahu'alam.

Wassalam.

Regard,