Assalamualaikum wbt.
Selesai sudah pertarungan antara Kelantan dan Negeri Sembilan di Stadium Bukit Jalil yang menyaksikan Kelantan terpaksa memberi peluang kepada Skuad Jang untuk menang setelah mendahului dengan 3 gol.
Saya tidak sempat menyaksikan gol pertama N9 yang menerobos 'mahligai' Halim Napi yang disumbangkan oleh Sharurain. Tapi saya sempat menyaksikan kelincahan Hairuddin dalam mencabar kredibiliti Halim Napi selaku penjaga gol Kelantan dengan menyumbang gol kedua buat N9 pada minit-minit terawal separuh masa kedua. Juga gol penalti yang dihadiahkan buat Zaquan kepada N9 sekaligus mencatatkan 3 gol buat N9 sementara Kelantan masih lagi 0.
Rentak permainan N9 dan Kelantan saya teliti. Saya bukannya seorang pakar bola. Jarang sekali saya menonton perlawanan bola sepak dan ini merupakan kali pertama saya tercongok, terpaku di hadapan televisyen demi menonton sebuah perlawanan yang menjadi isu hangat media cetak mutakhir ini.
Gol yang disumbangkan Hairudin pada minit-minit terawal separuh masa kedua menyebabkan dahi saya tertepuk oleh tangan sendiri. Kelincahan beliau ditambah pula dengan sikap pemain Kelantan yang masih lagi leka menyebabkan gawang gol Halim Napi sekali lagi diceroboh.
Zaquan yang empat kali diusung keluar sempat meledakkan gol penalti menawan gawang Halim Napi dengan ganas. Gol yang ke-10 bagi Zaquan secara peribadinya ini sekaligus meletakkan Zaquan setaraf dengan kapten Kelantan yang juga mempunyai bilangan gol yang sama. Sementara itu, penyokong berbaju merah yang tadinya bersemangat mengibarkan bendera dan banner, bergerak meninggalkan stadium. Putus harapan barangkali setelah ditinggalkan N9 3-0. Kamera mulai fokus kepada penyokong Skuad Jang yang berbaju kuning.
Permainan diteruskan dengan keluar masuknya beberapa pemain. Sungguh saya hairan. Ke mana perginya kelicikan Farhan yang menyumbangkan hatrik ketika menetang Singa Utara tempoh hari? Kredibiliti Indra Putra Mahayuddin selaku kapten dan juga pemain yang baling banyak menyumbangkan gol juga tercabar apabila beliau gagal menghadiahkan sebarang gol pada minit-minit terawal dan bola tendangannya hanya menceroboh gawang lawan pada minit-minit terakhir. Automatik, beliau berjaya mengekalkan takhta penyumbang gol paling banyak dalam liga ini yakni sebanyak 11 gol tanpa memberi izin kepada Zaquan yang menyamakan kedudukan selama beberapa minit.
Indra Putra Mahayuddin menghadiahkan gol saguhati kepada Kelantan menjadikan kedudukan Kelantan dengan 1 gol, N9 3.
Mercun semakin galak dipasang. Lebih teruk, seorang jurukamera RTM terpaksa dikejarkan ke hospital setelah terkena balingan objek keras yang didakwa berpunca daripada penyokong Red Warriors. Kerusi tempat duduk juga dibakar. Keadaan cuba dikawal sebaik mungkin oleh pihak polis dan FRU.
Melihatkan adegan pergaduhan dalam padang antara kedua-dua pasukan membuatkan saya berfikir banyak hal. Kelantan seolah sangat tertekan setelah ketinggalan dengan N9 yang mendahului jauh di hadapan. Pergaduhan acapkali tercetus. Kamera banyak menfokus kepada Khalid Jamlus yang menunjukkan taring beliau pada ketika-ketikanya, dan adegan ketidakpuasan hati oleh Indra Putra semasa dilayangkan kad kuning juga dirakam.
Saya terfikir, pada saat-saat genting seperti ini, hanya keajaiban yang boleh menjulang Kelantan sebagai juara. Keajaiban ini hanya berlaku pada orang-orang dan masa-masa tertentu sahaja. Saat ini, hanya doa yang harus dipanjatkan kepadaNya, memohon dikurniakan 'sesuatu'.
Namun, melihat kepada cara para pemain menangani setiap perselihan yang tercetus, saya pantas beristighfar. Saya yakin, pasti ada yang mencarut dan memaki hamun, bagi memuaskan hati sendiri. Adalah mustahil bagi pemain-pemain beristighfar ratusan kali saat marah mengepung diri ketika syaitan sedang menyemai nafsu ammaroh.
Seharusnya, sebagai pasukan yang memiliki semua pemain yang beragama Islam, berasal daripada negeri yang dipimpin ulama', para pemain seharusnya lebih matang dan tenang dalam menangani sebarang pergaduhan.
Berbalik kepada isu doa tadi, saya pernah memikirkan hal ini lama dahulu, ketika saya menjadi kapten bola jaring. Ketika di saat-saat nazak, doa saya panjatkan agar Allah memberi keajaiban kepada kami supaya mampu menandingi pihak lawan. Namun, kami gagal.
Adakah kerana Allah tak makbulkan doa saya?
Yaa!
Kenapa?
Kerana mungkin hati saya kotor, busuk dan sebagainya hingga ada hijab antara saya dan Allah yang membuatkan doa saya tersekat. Mungkin doa saya tidak sampai pun kepada Allah. Saat yang bagaimana sekalipun, kalau hati saya kotor, tiada guna saya panjatkan segunung doa sekalipun! Tidaklah perlu jadi semulia wali, tapi sekurang-kurangnya kalau hati saya bersih, tiada dendam, tiada hasad dengki, mungkin Allah mahu mendengar doa saya.
Saya tidak mengatakan kepada sesiapa. Ini pandangan umum. Sekadar pengalaman saya dan penambahan pendapat oleh seorang ustazah dan ukhti. Macam manalah Allah nak terima doa, kalau hati kita busuk, kota dan penuh dendam serta hasad?
Para penyokong pun satu hal. Mercun dipasang. Bekas minuman dilempar. Banner dikoyak. Bahkan kerusi penonton dibakar. Apa motifnya? Memuaskan hati? Jadi, puas? Nak marah siapa? Pemain bola sepak? Jadi kenapa bakar kerusi?
Buat malu saja!
Profesionallah. Tenang. Relaks. Ini cuma permainan bola sepak. Satu permainan yang dicetuskan sebagai hiburan, bukannya sebagai wadah untuk melakukan vandalisme dan medium untuk mencetuskan pergaduhan.
Bukankah lebih baik bermunajat pada Dia, agar mengurniakan 'sesuatu'? Mana tahu, dalam munajat 85,000 penyokong Kelantan di stadium tersebut sekurang-kurangnya, akan ada doa beberapa orang yang akan menerobos hijab Allah. Siapa tahu?
Yang pasti, syukurlah MB Kelantan tidak menghadirkan diri ke perlawanan bola sepak ini. Malu Tok Guru!
Inilah masalah Kelantan. Asobiah yang terlampau tinggi. Saya pasti, esok di akhbar pasti ada cerita kerosakan harta benda stadium dan penyokong dicederakan N9 yang terpampang. Ditambah perisa secukup rasa, makin menjadi-jadilah nampaknya!
Saya terfikir juga tentang ganjaran yang Tok Guru sediakan kepada pihak pasukan Kelantan jika berjaya menjulang gelaran JOHAN. Pakej umrah. Tok Guru menawarkan pakej untuk berjumpa Allah kepada semua pemain dan pegawai-pegawai KAFA yang terlibat. Namun kegagalan ini menyekat laluan Kelantan ke Mekah.
Mengapa?
Mungkin salah satu faktornya, seperti yang saya tegaskan tadi.
Faktor hati. Hati yang tidak bersih, mungkin Allah masih tidak sudi menerimanya sebagai tetamu di Baitillah. Mungkin ada lagi yang perlu diperbetulkan. Siapa tahu tahun hadapan...
Selain itu, saya juga yakin... Jika Kelantan menang malam ini, satu sambutan luar biasa akan dianjurkan. Mana tahu berlakunya maksiat di sambutan ini yang melorongkan para penyambut keraian ini ke jalan yang tidak diredhai Allah. Justeru, bagi mengelakkan ini berlaku, Allah terlebih dahulu menghijabkan kemenangan itu daripada pasukan Kelantan.
Mungkin juga kalau Kelantan bergelar juara, Kelantan akan muncul sebagai suatu pencetus evolusi dan revolusi seterusnya riak dalam bidang bola sepak. Mungkin juga dengan kemenangan ini Kelantan akan leka dan lalai dan seterusnya gagal pada musim hadapan?
Berbanding situasi keadaan, mungkin pada musim 2010 Kelantan akan lebih berusaha demi memastikan Indra Putra Mahayuddin mampu mengucup piala Liga TM. Penonton pun pasti tidak akan terganjak daripada tempat duduk mereka.
Selain itu, sifat penyokong Kelantan yang sangat yakin dengan kemenangan yang akan menjadi milik mereka mendorong mereka melakukan sesuatu demi memuaskan hati yang kecewa setelah impian yang digantung setinggi awan, jatuh menimpa diri sendiri. Bagus sifat yakin ni.. Tapi ada hadnya. Kalau tinggi sangat keyakinan, kita takkan mampu menghadapi kegagalan.
Sudah terlalu banyak saya katakan dalam bentuk yang halus. Sungguh! Saya beberapa kali mengedit entri kali ini demi memastikan hati banyak pihak terpelihara.
Saya sendiri maklum, saya bukanlah profesional di pentas sukan. Justeru mungkin ada yang beranggapan saya tidak layak untuk memberikan apa-apa ulasan. Namun inilah yang terzahir daripada pandangan sudut individu saya.
Apa yang rasanya betul dan boleh diambil sebagai tauladan, silakan.
Tapi jika da yang salah dan tidak tepat sama sekali, silalah tegur.
Saya mendoakan yang terbaik buat pasukan negeri Kelantan.
Semoga lebih sukses pada masa hadapan.
Yakinlah dengan rezeki dan rahmat Allah, yang luas dan dekat dengan hambaNya yang ikhlas.
Jadi, ikhlaskan niat. Main bola sepak kerana nak hiburkan hati orang ramai, nak bersukan untuk sihatkan tubuh badan dan nak menjulang martabat Kelantan kalau berjaya menang.
Bukan kerana populariti, ganjaran atau sebagainya.
Rezeki Allah tak ke mana...
Yakinlah dengan DIA.
"...dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya."
(petikan ayat 216, surah Al-Baqarah.)
Renung-renungkan, dan selamat beramal.
Wallahu'alam.
Wassalam.
Ikhlas yg amat,
Maryam Kamal.